Monday, 27 June 2022

Hab e-dagang dan logistik Bukit Kayu Hitam mula beroperasi dalam masa terdekat

  • Published in Ekonomi

BUKIT KAYU HITAM, 27 Mei - Hab e-Dagang dan logistik fasa 1 Bukit Kayu Hitam di Kedah melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pusat operasi aktiviti import dan eksport barangan melalui jalan darat yang pertama di negara ini.

Projek pembangunan itu yang siap Mac lepas akan mula beroperasi dalam masa terdekat sejajar dengan matlamat kerajaan negeri membangunkan Bukit Kayu Hitam sebagai Zon Sempadan Ekonomi Khas.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaburan itu yang dianggarkan berjumlah hampir RM1 bilion, dapat menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai pusat e-dagang antarabangsa.

(Datuk Seri Muhammad Sanusi ditemu bual pada sidang media selepas perasmikan Projek Terminal E-Dagang KT Express Logistics Sdn Bhd di Bukit Kayu Hitam)

"Hab e-dagang tersebut merupakan anugerah kepada rakyat Kedah khususnya dalam membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri dan peluang pekerjaan.

"Fasa 1 dijangka bermula minggu hadapan dan fasa 2 akan bermula secepat mungkin dalam tempoh setahun setengah,"kata Muhammad Sanusi ketika berucap merasmikan Projek Terminal E-Dagang KT Express Logistics Sdn Bhd di sini.

Jangkaan untuk menyiapkan kesemua fasa adalah lima tahun.