Monday, 27 June 2022

UEM Edgenta catat untung bersih RM9.4 juta pada suku pertama

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Keuntungan bersih UEM Edgenta Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 meningkat kepada RM9.4 juta berbanding RM6.6 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Selain itu, nilai perolehan kontraknya kukuh dan berjumlah RM10.8 bilion yang membolehkan prospek jangka panjang sehingga 2038.

Perolehan hasil syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu juga meningkat 11.5% kepada RM539.2 juta daripada RM483.6 juta sebelum ini.

Dalam kenyataan semalam, syarikat itu berkata ia juga terus mendapat kontrak pada suku tersebut termasuk memperoleh kontrak baharu bernilai lebih RM500 juta, sekaligus mencapai 40% daripada pertumbuhan semula nilai perolehan kontrak yang disasarkan bagi tahun kewangan 2022 berjumlah sehingga RM1.3 bilion.

Menurut UEM Edgenta, pasaran antarabangsa menyumbang 60% daripada kontrak baharu yang turut membuktikan keberkesanan strategi pengembangan pasaran antarabangsa syarikat itu.

Bahagian sokongan penjagaan kesihatannya, terutama kontrak komersial terus menjadi peneraju iaitu menyumbang 66% daripada kontrak baharu tersebut.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin menyifatkan suku tersebut sebagai positif untuk syarikat apabila terus mencatat keuntungan dan nilai perolehan kontrak yang baik, disokong oleh pemulihan pasaran dan strategi pempelbagaian dilaksanakannya.

(UEM Edgenta Bhd)

“Namun, kami terus optimis dan berhati-hati terhadap prospek tersebut. Ini kerana biarpun prospeknya adalah positif dan dipacu oleh kelonggaran sekatan perjalanan antarabangsa dan keadaan negara yang dalam fasa beralik ke endemik tetapi masih terdapat pelbagai cabaran seperti tekanan inflasi global, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pasaran.

“Oleh itu sebagai sebuah organisasi, kami akan terus melakukan inovasi dan kekal tangkas bagi menangani cabaran itu,” katanya.