Monday, 27 June 2022

UMediC dapat kelulusan untuk disenaraikan di pasaran ACE

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 Mei- UMediC Group Bhd mendapat kelulusan pihak Bursa Malaysia Securities Bhd dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam satu kenyataan semalam, syarikat itu berkata menjelang penyenaraian itu, UMediC akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang merangkumi terbitan awam sebanyak 97.22 juta saham-saham baharu.

Ini termasuk 18.69 juta saham yang akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia manakala 13.08 juta diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak dan telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

Baki 65.44 juta saham baharu UMediC akan turut ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

UMediC secara dasarnya menceburi bidang pemasaran dan pengedaran pelbagai peranti perubatan berjenama serta penyediaan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produknya.

(Foto fail)

“Kami tidak hanya menjangkakan permintaan bagi peranti perubatan akan terus berkembang tetapi pada kadar yang kekal meningkat. Oleh itu, kami akan mencuba sedaya upaya untuk memanfaatkan peluang tersebut,” kata Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Taw Seong.

Menurutnya, syarikat itu berhasrat untuk menggunakan hasil yang terkumpul daripada IPO itu bagi persiapan masa depan menerusi pembinaan kilang baharu untuk mengembangkan lagi pengeluarannya selain kapasiti penyimpanan bagi memenuhi permintaan pasaran di masa depan.