Saturday, 25 June 2022

Urus kesan pandemik COVID-19, penyelesaian jangka pendek turut beri impak jangka panjang

  • Published in Ekonomi

DAVOS, 26 Mei- Kerajaan tidak hanya melaksanakan penyelesaian jangka pendek ketika menguruskan kesan pandemik COVID-19, sebaliknya tekad memastikan sebarang penyelesaian jangka pendek turut sama memberi impak jangka panjang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sejak tahun 2020 Malaysia telah memperkenal pelbagai pakej rangsangan di samping menangani isu-isu jangka panjang di bawah tiga prinsip iaitu responsif, tanggungjawab dan pembaharuan.

Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk ‘Taking the Long View' pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

(Tengku Datuk Seri Zafrul, ketika menyertai sesi dialog ‘Taking the Long View' 
pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 / Foto FB Tengku Zafrul)

Memetik ekonomi gig sebagai contoh, Tengku Zafrul berkata, industri itu menerima kesan semasa tempoh sekatan pergerakan ekonomi dan kerajaan telah meluaskan capaian perlindungan sosialnya kepada pekerja-pekerja gig termasuk memberi manfaat tunai.

Beliau turut menyatakan, banyak isu yang mempunyai impak merentasi jangka masa lebih panjang seperti pekerjaan dan taraf hidup, memerlukan usaha daripada kerajaan untuk mengimbangi kepentingan rakyat hari ini terhadap mereka yang akan hidup pada masa depan.