Monday, 27 June 2022

Koperasi tidak terikat dengan peraturan bank susulan kenaikan OPR

  • Published in Ekonomi

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 25 Mei- Sektor koperasi tidak terikat dengan mana-mana peraturan yang ditetapkan oleh pihak bank, susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana sektor koperasi tidak menyediakan pinjaman peribadi tetapi terikat di bawah aktanya sendiri iaitu Akta Koperasi 1993.

“Dari segi akta, koperasi tidak terikat dengan apa-apa (peraturan) yang dibuat oleh pihak bank,” katanya ringkas kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Memetik laporan Bernama, pada 11 Mei lepas, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk menaikkan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik, sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

(Noh Omar(tengah) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Putrajaya)

Dalam perkembangan lain, Noh berkata KUSKOP dalam usaha mengembangkan kedai koperasi atau Coop Mart bagi membolehkan ahli koperasi menjana pendapatan, selain membantu meringankan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Sebagai langkah pertama, katanya penyeragaman logo dan warna akan dibuat di Coop Mart seluruh negara.

“Tahun ini kita akan mulakan dengan 500 Coop Mart dahulu dan mana-mana ahli koperasi yang menyertai program ini akan diberikan keutamaan dalam pemberian subsidi, bagi  penjualan barang keperluan asas pada harga lebih murah,” katanya.

Selain itu, menurutnya KUSKOP juga akan menubuhkan pusat pengumpulan dan pengedaran barangan (untuk Coop Mart) bagi mengelakkan peranan orang tengah.

“Kami harap pusat ini akan membeli secara langsung daripada penjual dan dihantar kepada Coop Mart secara terus,” kata Noh.

Coop Mart dilancarkan pada 15 April lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.