Monday, 27 June 2022

Pusat Revolusi Perindustrian Keempat ditubuhkan, memangkin pemulihan ekonomi Malaysia

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Mei- Malaysia mengumumkan penubuhan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), sebuah pusat bebas bawah Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum (WEF). C4IR itu akan ditubuhkan secara rasmi dan bakal disempurnakan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua tahun ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menyebut, pembukaan C4IR yang pertama di Asia Tenggara  itu dilakukan dengan kerjasama WEF untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021, serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Usaha itu akan membantu mempercepatkan penggunaan teknologi yang akan menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19,” kata kenyataan itu.

Penubuhan C4IR juga menunjukkan komitmen Kerajaan Malaysia ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pascapandemik, serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baharu muncul dan inovatif.

“Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi,” jelas kenyataan itu.


(Tengku Datuk Seri Zafrul bersama beberapa wakil-wakil korporat global
pada hari kedua Forum Ekonomi Dunia/FB Zafrul)

Penubuhan C4IR diumumkan bagi pihak Kerajaan Malaysia oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sempena Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia yang diadakan pada 23 – 26 Mei 2022.

“Malaysia sedang mempercepatkan transformasi digitalnya dan keupayaan kita untuk memanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum akan menjadi salah satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa dekad akan datang.

“Sehubungan itu, penubuhan C4IR untuk memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi. 

Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin,” kata Zafrul sempena kehadiran di Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia di Davos hari ini.

“Kami mengalu-alukan Malaysia ke rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat lewat tahun ini. Sebagai pusat pertama di Asia Tenggara, C4IR Malaysia akan memainkanperanan penting dalam menerajui transformasi digital di rantau ini,” kata Jeremy Jurgens, Pengarah Urusan, Forum Ekonomi Dunia.

Jelas kenyataan sama, sebaik ditubuhkan, C4IR akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi & Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi. Forum Ekonomi Dunia juga akan terus memainkan peranan kolaboratif dalam pengoperasian C4IR.

Pemaanfaat utama agenda 4IR Malaysia termasuklah golongan belia seperti akses yang lebih baik kepada kaedah pembelajaran dan peningkatan kemahiran yang dikuasakan oleh Edutech; perusahaan sosial seperti menyelesaikan isu sosio-ekonomi, memudahkan penggunaan digital dan merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar; sektor perniagaan seperti membangunkan kapasiti dikuasakan 4IR berasaskan industri dan sektor juga sektor awam seperti memanfaatkan data raya bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.