Monday, 27 June 2022

Sekatan eksport minyak sawit tidak jejas industri sawit negara

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Mei - Langkah Indonesia menarik balik sekatan eksport minyak sawit bermula semalam tidak menjejaskan industri sawit negara.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin, ia berikutan Malaysia mempunyai pembeli sendiri komoditi itu selain minyak sawit yang berkualiti.

Pihaknya akan tetap mengatur formulasi dan strategi baharu dalam masa terdekat, bagi memastikan industri sawit negara tidak menerima impak negatif pada masa akan datang.

"Dalam masa terdekat ini, dalam masa seminggu ke tiga minggu mungkin kita ada melihat kesan tetapi saya rasa kesan itu tidak terlalu besar. Sebab kita amat bersyukur kerana kita mempunyai pembeli yang sedang dan telah membeli daripada kita dan kita berharap dengan harga yang kita tawarkan, dengan kualiti yang kita tawarkan dan juga dengan khidmat selepas jualan "after sale service" yang kita berikan kepada mereka, mereka akan beli daripada kita secara berterusan," katanya di sini semalam pada sidang media selepas lawatan kerja ke Nextgreen Global Bhd (NGGB) di Green Technology Park.


(Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin)

Turut hadir Setiausaha Bahagian Biobahan Api Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Sang Yew Ngin, Pengarah Urusan NGGB Datuk Lim Thiam Huat dan Pengarah NGGB Datuk Mohd Yusof Din. 

Dalam lawatan itu, Willie meninjau secara dekat inisiatif hijau yang dijalankan oleh NGGB dalam penggunaan tandan buah kosong sawit yang diproses untuk menghasilkan pulpa dan kertas sebagai bahan percetakan, kertas tisu dan pembungkusan.

Setakat ini, NGGB mempunyai kapasiti pengeluaran 10,000 tan metrik kertas bebas kayu setahun dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 180 penduduk tempatan.

Mengulas mengenai lawatan itu, Willie berkata industri berkenaan amat berpotensi untuk terus berkembang dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat.

"Sabah dan Sarawak merupakan penanam sawit terbesar di negara kita dan sudah semestinya industri hijau seperti ini perlu diperluaskan ke sana.

"Saya sudah berbincang dengan NGGB untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan di Sabah dan Sarawak sebagai rakan strategik, yang mana ini dapat memastikan situasi menang-menang dapat dicapai," katanya.


(Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin semasa lawatan kerja ke Nextgreen Global Bhd (NGGB) di Green Technology Park di sini)