Sunday, 26 June 2022

Malaysia kekal berdaya saing walaupun Indonesia batal larangan eksport minyak sawit - Zuraida

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata langkah Indonesia untuk menarik balik larangan eksport minyak sawit berkuat kuasa esok kemungkinan menyebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) terkesan.

Namun begitu, kementerian itu menambah tidak akan ada penurunan harga yang mendadak memandangkan pasaran menjangkakan bahawa larangan eksport ini hanya bersifat sementara.

Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan semua pengusaha kelapa sawit Malaysia termasuk firma perladangan dan pekebun kecil supaya tenang dan tidak terlalu bimbang dengan perkembangan terkini.

Tambahan pula, penurunan harga minyak sawit (MSM) baru-baru ini telahpun mengambil kira kemungkinan ini.

"Penganalisis pasaran turut menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekali gus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah dengan pengeluaran yang lebih tinggi tahun ke tahun dan suku ke suku," jelas beliau.

"Walaupun penarikan larangan eksport memberi kelegaan besar kepada penanam Indonesia, mereka sudah terlepas tempoh harga MSM yang tinggi (Februari-April 2022) apabila harga minyak sawit Indonesia didagangkan pada diskaun yang lebih besar berbanding Malaysia, akibat dasar kawalan eksport yang telah dilaksanakan lewat Januari 2022."

Menurut Zuraida, dasar Indonesia mampu memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, memandangkan ini membolehkan Malaysia muncul sebagai pembekal dominan ke India yang merupakan pembeli utama minyak makan dunia.

Cukai eksport Malaysia yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan sumbangan eksport minyak sawit Indonesia ke India jatuh kepada 35% pada tahun pemasaran semasa yang berakhir pada 31 Oktober 2022 daripada lebih 75% sedekad lalu, menurut anggaran daripada Solvent Extractors' Association of India (SEA), sebuah badan perdagangan minyak sayuran.

Dalam lima bulan pertama tahun pemasaran 2021/22, India membeli 1.47 juta tan minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 tan metrik tan dari Indonesia, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh SEA.

Untuk Mei tahun ini, India dianggarkan mengimport sekitar 570,000 tan minyak sawit, dengan 290,000 tan dari Malaysia dan 240,000 tan dari Indonesia, kata Zuraida.

"Justeru, KPPK percaya bahawa harga MSM akan kekal pada paras tinggi, memandangkan ketidaktentuan pengeluaran minyak bijian utama (seperti kacang soya, jagung dan biji bunga matahari) sama ada disebabkan oleh ketegangan geopolitik atau cuaca yang tidak menentu.

(Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin)

"Akhir sekali, walaupun Indonesia akan menyambung semula eksport minyak sawitnya esok (hampir sebulan selepas mengenakan larangan pada 28 April), namun masih terdapat kemungkinan perubahan polisi memandangkan harga minyak sawit di pasaran domestik Indonesia masih belum turun ke tahap yang disasarkan (malah, penarikan balik larangan ini boleh mengakibatkan berulangnya kekurangan domestik di Indonesia)."

Memandangkan prospek jangka sederhana hingga panjang industri minyak sawit Malaysia kekal cerah, KPPK menyeru semua pengusaha kelapa sawit Malaysia untuk berganding bahu dalam membantu menjayakan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan yang bertujuan menentang pelbagai tanggapan salah berkenaan minyak sawit Malaysia dalam memacu kejayaan komoditi ini di peringkat global.