Sunday, 26 June 2022

Bursa Malaysia dijangka saksikan dagangan berhati-hati minggu depan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan berikutan persekitaran pasaran yang tidak menentu, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng.

Beliau berpendapat indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan bergerak secara mendatar dengan kecenderungan menaik antara 1,545 dan 1,565 manakala rintangan serta-merta pada 1,570 dan sokongan pada 1,540.

“Kami agak optimis tentang pasaran tempatan walaupun terdapat peningkatan dalam sentimen pasaran serantau kerana kegiatan pengambilan untung dijangka berlaku,” katanya kepada Bernama.

Memandangkan ketidaktentuan terus mempengaruhi sentimen, indeks dijangka kekal dalam mod stabil.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan bergerak bercampur-campur di tengah-tengah prestasi yang stabil dalam pasaran serantau serta penurunan di Wall Street berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap kesan inflasi yang terus tinggi.

Secara perbandingan mingguan, FBM KLCI meningkat 4.71 mata untuk mengakhiri minggu urus niaga pada 1,549.12 berbanding 1,544.41 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks pula, Indeks FBMT100 menokok 47.81 mata kepada 10,735.07, Indeks FBM Emas Syariah menambah 60.86 mata menjadi 11,529.27, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 60.57 mata kepada 11,071.37, FBM ACE meningkat 0.46 mata kepada 5,343.09 dan FBM 70 meraih 120.41 mata kepada 13,177.02.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 78.52 mata kepada 8,257.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.58 mata menjadi 199.37 sementara Indeks Tenaga peroleh 64.92 mata kepada 852.16.

Indeks Perkhidmatan Kewangan pula menguncup 141.46 mata kepada 16,534.37, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 30.16 mata kepada 1,980.94 dan Indeks Teknologi turun 2.19 mata kepada 65.69.

(Foto fail)

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 14.33 bilion unit bernilai RM9.26 bilion berbanding 15.15 bilion unit bernilai RM11.21 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengembang menjadi 11.08 bilion saham bernilai RM8.50 bilion berbanding 10.68 bilion saham bernilai RM10.33 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.31 bilion unit bernilai RM262.61 juta berbanding 1.46 bilion unit bernilai RM256.93 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turut susut kepada 1.95 bilion saham bernilai RM496.96 juta daripada 2.99 bilion saham bernilai RM621.60 juta minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya ditutup pada hari Isnin (16 Mei) sempena cuti umum Hari Wesak yang jatuh pada hari Ahad.