Sunday, 26 June 2022

Labuan berpotensi jadi hab maritim serantau

  • Published in Ekonomi

LABUAN, 20 Mei - Labuan berpotensi untuk dijadikan hab maritim serantau berikutan pembangunan industri maritim di kawasan itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata Labuan yang terletak secara strategik di tengah-tengah Asia Tenggara dan kedalaman semula jadi perairannya boleh dibangunkan menjadi sebuah negeri ekonomi yang rancak.

(Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong)

"MOT berpendapat Labuan mempunyai ramuan untuk menjadi hab maritim di rantau ini dan kita harus berusaha untuk merealisasikan rancangan ini.

"Kami mahu menjadikan Labuan sebagai pulau yang mampu merangsang ekonomi terutamanya dalam sektor berkaitan maritim untuk kesejahteraan rakyat di sini dan MOT berpendapat industri maritim boleh menjana aktiviti ekonomi untuk penduduk Labuan,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dasar induk antara Victoria STS Sdn Bhd dan Fendercare Marine Asia Pacific Pte Ltd berhubung kerjasama pemindahan kargo dari kapal ke kapal, di sini.

Tambah Wee, perkhidmatan pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) yang baru diperkenalkan di had pelabuhan Labuan di Teluk Victoria adalah bukti yang menunjukkan potensi pulau itu untuk menjadi hab maritim serantau.

"Kementerian telah mengeluarkan satu permit untuk mewujudkan enam plot secara khas untuk diadakan STS, mewujudkan aktiviti untuk menjalankan STS,"katanya.