Sunday, 26 June 2022

AEON komited pastikan harga produk tidak naik secara drastik

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 20 Mei- AEON Co (M) Bhd (AEON) akan berusaha memastikan harga produknya tidak mengalami kenaikan secara drastik dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan tekanan inflasi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan cabaran tersebut, pada masa sama komited memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kami telah membuktikan bahawa kami mampu bertindak pantas dalam tempoh yang sangat mencabar ini dan akan terus melangkah ke hadapan serta mampu menghadapi cabaran ini.

Kami berharap kerjasama dengan semua rakan kongsi, kami akan dapat memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan komuniti dengan lebih baik," katanya dalam taklimat media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AEON ke-37 secara maya.

(Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya)

Katanya, meskipun menghadapi cabaran sepanjang tempoh penutupan pusat beli-belah dan kedai pada tahun lalu, AEON masih dapat mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi.

AEON merekodkan prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM85.3 juta berbanding RM41.4 juta pada tahun sebelumnya.