Sunday, 26 June 2022

KUSKOP komited lahir usahawan kalangan bekas banduan, OKU dan belia

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan dan syarikat swasta bagi membantu melahirkan usahawan baru dalam kalangan bekas banduan, orang kurang upaya (OKU) dan belia.

Menurut menterinya Tan Sri Noh Omar, usaha ini dapat memperkukuhkan ekosistem keusahawanan negara ini sejajar dengan strategi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

Tambah beliau sejak tahun 2006 kerajaan telah melaksanakan beberapa skim pembiyaan khususnya melalui agensi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) kepada kumpulan sasar.

Antaranya, Skim Pembiayaan kepada Bekas Banduan, Pembiayaan AADK, Skim Pembiayaan Peluang Kedua dan Pembiayaan Orang Kurang Upaya.

"Kurang mendapat sambutan, mungkin mereka tidak tahu dan mungkin tidak ada sesiapa yang memberi keyakinan kepada mereka, tetapi hari ini alhamdulillah bila PERGAK ini ada turun padang, akan bersama-sama mencari bekas-bekas banduan dan penagih ini bukan sahaja nak suruh makan gaji semata tetapi mereka memberi latihan, pulihkan balik semangat mereka, buat pembetulan dan akhirnya mereka insyallah akan berjaya," katanya.

Terdahulu, Noh merasmikan Program Usahawan Kluster Baru dari Kalangan Bekas Banduan, Penagih, Orang Kurang Upaya dan Belia di ibu negara.

Program tersebut merupakan anjuran Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) dan Straits Millennium Sdn Bhd.


(Tan Sri Noh Omar pada Program Usahawan Kluster Baru dari Kalangan Bekas Banduan, Penagih, Orang Kurang Upaya dan Belia di ibu negara)