Sunday, 26 June 2022

Larangan eksport gandum: Kerajaan perlu laksana pemantauan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 17 Mei- Tindakan India menyekat eksport gandum, boleh membawa krisis bekalan makanan global.

Justeru, Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata kerajaan perlu bersedia dengan pelan lebih awal sekiranya berlaku krisis bekalan makanan.

"Kita perlu memastikan bahawa stok makanan kita mencukupi dan juga memenuhi kehendak atau pun permintaan rakyat Malaysia. Kalau kita lihat dalam konteks sebagai contohnya makanan seperti daging, ayam dan juga gandum dan sebagainya, kalau boleh kita sendiri boleh menampung permintaan rakyat kita sendiri," katanya.


(Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali)

Pensyarah Sains Politik, Mujibu Abd Muis pula berpandangan pada masa sama, kerajaan juga perlu melaksanakan pemantauan berikutan kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga gandum dengan alasan berkenaan.

"Pemantauan terhadap harga dan bekalan ini boleh dilakukan dengan sebaiknya terutamanya terhadap barangan gandum yang tidak disubsidi kerana kalau yang disubsidi itu mungkin kita kata pemantauannya boleh dilakukan tapi yang ini barangkali boleh dipantau. Walaubagaimanapun saya melihat gandum yang masuk ke dalam Malaysia ini mungkin tidak datang dari India kerana difahamkan 80 peratus import gandum di Malaysia ini datang dari Australia dan juga Kanada," katanya.


(Pensyarah Sains Politik, Mujibu Abd Muis)

Kelmarin, India dilapor mengenakan larangan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta, susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik yang menjejaskan hasil tanaman dan harga bekalan tempatan mencecah rekod tertinggi.

Bagaimanapun, India masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit yang telah dikeluarkan, serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.


(GAMBAR FAIL)