Saturday, 25 June 2022

Peruntukan AS$150 juta, komitmen serius AS terhadap hubungan dengan negara Asean

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Inisiatif AS$150 juta yang diumum Presiden, Joe Biden kepada negara Asean menggambarkan keseriusan Amerika Syarikat dalam menjaga hubungan dengan negara anggota.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai komitmen yang diberi merupakan satu potensi besar buat Malaysia memandangkan Amerika merupakan rakan dagang utama negara.

"Peruntukan AS$150 juta bagi aspek maritim dan perhubungan kerajaan yang diumum merupakan satu tanda betapa seriusnya Amerika Syarikat di dalam hubungan dengan negara-negara Asean.

"Walaupun jumlah ini dilihat kecil tetapi dari segi semangatnya, merupakan satu tanda dan dia disokong oleh janji untuk menambah lagi jumlah sumbangan dan pelaburan. Bukan saja di pihak kerajaan tetapi daripada syarikat-syarikat Amerika Syarikat di Malaysia dan di rantau Asia," katanya kepada RTM.

(Prof Dr Barjoyai Bardai)

Amerika mengumumkan peruntukan berkenaan pada mesyuarat Sidang Kemuncak Khas Amerika-Asean di Washington untuk disalur kepada program tenaga bersih, keamanan maritim, pendidikan dan kesihatan masyarakat.

"Apa yang kita dapat lihat daripada persidangan Amerika Syarikat dan Asean yang berlangsung baru-baru ini adalah komitmen yang konsisten daripada Malaysia untuk mengenal pasti dan memperdalam hubungan perdagangan antara mana-mana negara di dunia ini.

"Di peringkat Malaysia kita tidak memilih bulu ataupun tidak memilih negara yang menjadi pilihan tetapi mana-mana kuasa ekonomi yang mampu untuk menyumbang kepada pertumbuhan eksport dan import negara maka menjadi satu kepentingan negara ataupun 'national interest' untuk kita memperbaharui dan menguatkan hubungan dagangan dengan negara ini, termasuklah dengan Amerika Syarikat," kata Pengarah Perhubungan Luar Ideas Malaysia, Dr Zokhri Idris.

(Dr Zokhri Idris)