Saturday, 25 June 2022

Paras kemiskinan dan pendapatan baharu penting bagi meneruskan BMTKM

  • Published in Ekonomi

KOTA BAHRU, 15 Mei- Kerajaan akan mengumumkan paras kemiskinan dan pendapatan baharu golongan B40, M40 dan T20 pada awal tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, proses pengumpulan maklumat mengenainya dijangka selesai dilaksanakan hujung tahun ini.

"Adalah tidak adil kalau 'survey' itu semuanya di buat dalam COVID jadi alhamdulillah kita mula masa COVID sekarang dah kita pergi ke endemik maka rakyat sudah pun bekerja, pendapatan sudah meningkat jadi kita mahu supaya pendapatan itu benar - benar mencerminkan keadaan semasa itu sebabnya beberapa angka berkaitan dengan miskin, miskin tegar T20, M40 dan B40 sedang di kaji semula," katanya.

Beliau ditemui media selepas Taklimat Sosioekonomi kepada Media Negeri Kelantan, di Kota Bharu.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed)

Tambah Mustapa, penetapan paras pendapatan yang baharu amat penting bagi kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang melibatkan rakyat berpendapatan isi rumah RM1,200 sebulan.

Ia selari hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe12) untuk menghapuskan miskin tegar atau yang benar-benar miskin menjelang akhir tahun 2025.