Sunday, 26 June 2022

KDNK suku kedua diunjur lebih lima peratus

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Malaysia mampu mencatat pertumbuhan ekonomi lebih baik antara 5 dan 5.5 peratus bagi suku kedua tahun ini.

Ahli Profesional Persatuan Teknikal Analisis Malaysia, Muhammad Azmi Mohd Amin berkata permintaan domestik yang kukuh akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong fasa peralihan ke endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Jelasnya, faktor tersebut akan meningkatkan ketibaan pelancong seterusnya merangsang aktiviti perdagangan dan perniagaan.

Pertumbuhan akan turut menerima manfaat daripada pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan merancakkan penggunaan swasta dan pemulihan ekonomi.

"Kalau kita lihat daripada pembukaan sempadan dgn kejatuhan nilai ringgit kita tengok kebanyakan pelancong mula masuk ke Malaysia, jadi kita jangkakan dengan kelemahan ringgit ini juga dapat membantu perbelanjaan resit pelancong asing ke dalam Malaysia, ini akan meningkatkan sektor pelancongan negara," katanya.


(Ahli Profesional Persatuan Teknikal Analisis Malaysia, Muhammad Azmi Mohd Amin)

Bagaimanapun, perkembangan global terkini berpotensi menjadi risiko dan mengehadkan pertumbuhan.

"Seperti mana risiko yang dialami oleh kebanyakan negara, kita juga masih bergantung kepada pertumbuhan ekonomi global jadi kalau pertumbuhan ekonomi global mula lemah, disebabkan faktor-faktor seperti gangguan rantaian bekalan, harga komoditi tinggi, jadi ini boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi kita," ujarnya lagi.

Bank Negara mengunjurkan, ekonomi domestik akan terus bertambah baik, dengan pertumbuhan diramalkan antara 5.3 dan 6.3 peratus untuk keseluruhan 2022.