Monday, 27 June 2022

Kerajaan perlu teliti ambil alih Sapura Energy

  • Published in Ekonomi

JELI, 14 Mei - Kerajaan perlu membuat pertimbangan yang teliti mengenai prestasi kewangan negara membabitkan pengambilalihan Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) untuk mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu daripada diisytihar muflis.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terdapat banyak industri yang terjejas termasuklah perkhidmatan O&G sama ada daripada syarikat kecil atau besar.

Katanya, industri itu adalah strategik dan Sapura Energy pula adalah sebuah syarikat terbesar di dunia dalam bidang berkenaan.

(Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian
Projek Jambatan Sungai Nibong, Kuala Balah di Jeli, Kelantan)

"Sebarang bantuan yang diberikan itu jika tidak membabitkan kerajaan sekali pun, bagaimanapun Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) adalah milik kerajaan, oleh itu ia perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Seminggu lalu, pihak kami juga sudah mengadakan perjumpaan dengan syarikat O&G yang terjejas dan mereka menceritakan masalah yang dihadapi khususnya sejak Covid-19 apabila harga minyak merudum," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Projek Jambatan Sungai Nibong, Kuala Balah, di sini.

Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PETRONAS mengambil alih Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) untuk mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.