Logo

Ekonomi Malaysia kembali ke landasan lebih kukuh pada suku pertama 2022

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Ekonomi Malaysia kembali ke landasan lebih kukuh pada suku pertama 2022 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatat pertumbuhan 5 peratus, jauh lebih baik daripada jangkaan kebanyakan agensi penganalisis ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, prestasi positif itu dijangka berterusan pada suku kedua tahun ini, didorong langkah pembukaan semula sempadan negara dan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April lalu.

"Pembukaan semula sempadan berupaya memulihkan sektor pelancongan dan industri berkaitan termasuk penerbangan, penginapan dan hospitaliti," katanya menerusi kenyataan.


(Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ekonomi)

Tambah beliau, tahun ini kerajaan menjangkakan ketibaan dua juta pelancong asing yang akan menyumbang RM8.6 bilion kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia berdepan dengan risiko persekitaran luar yang mencabar.

"Ini termasuk jangkaan pertumbuhan ekonomi global bagi 2022 yang lebih rendah seperti diunjurkan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia.

Manakala konflik Rusia-Ukraine yang berlarutan menyebabkan gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan harga minyak mentah dan komoditi yang memberi tekanan kepada kenaikan inflasi," katanya lagi.

Justeru, kerajaan akan terus memantapkan usaha seperti mempercepat pembaharuan dan transformasi struktur ekonomi, memantapkan kedudukan fiskal kerajaan dan menggalakkan pelaburan swasta domestik.

Selain itu, usaha meningkatkan jaminan bekalan makanan negara akan terus dirancakkan, disamping memastikan kestabilan harga dan membendung kenaikan harga barangan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.