Thursday, 26 May 2022

Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu hadapan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil tetapi cenderung ke arah kenaikan pada minggu hadapan memandangkan sifatnya yang lebih ke arah tujuan mengisi semula stok, dengan dinamik penawaran dan permintaan bakal menentukan harga. 

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata ketiadaan pemangkin pertumbuhan dan konflik Ukraine yang berterusan telah menjejaskan pemulihan ekonomi di seluruh dunia.

"Dengan meningkatnya harga komoditi tertentu seperti minyak dan gas, tumpuan kini adalah pada kemampanan dan bukannya lagi pertumbuhan. Tanpa pertumbuhan serta pembukaan ekonomi dan sempadan, ia akan menjadi lembap dalam jangka masa yang lebih lama sebelum kita dapat melihat sebarang pemulihan besar dalam pertumbuhan. 

"Oleh itu, akan ada pembelian getah untuk fungsi penambahan dan ini bermakna pasaran akan didagangkan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan untuk bergerak lebih tinggi pada minggu berkenaan," katanya kepada Bernama.

Menurut Low, keadaan bekalan dan permintaan berkurangan disebabkan hujan berterusan di kawasan pengeluar getah yang telah mengakibatkan produktiviti merosot tetapi disebabkan oleh permintaan pasaran yang terhad, harga masih kekal stabil dan sedikit lebih tinggi. 


(Foto fail)

Seorang lagi peniaga berkata harga getah tempatan akan terus dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau, pergerakan ringgit, penanda aras harga minyak mentah selain daripada asas-asas ekonomi.

"Pengendali pasaran akan terus memantau perkembangan sekitar krisis Rusia-Ukraine yang masih berlarutan, penutupan China dan keputusan monetari daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengukur prospek ekonomi global," katanya.

 Bagi minggu yang baru berakhir, getah Malaysia diniagakan bercampur-campur selepas dipengaruhi oleh petunjuk yang lebih lemah dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan penanda aras harga minyak mentah berikutan kebimbangan inflasi, kelembapan ekonomi China, pengetatan kewangan yang sengit daripada AS dan konflik Ukraine yang membebankan sentimen pasaran.

Bagaimanapun, harga disokong oleh penurunan pengeluaran getah tempatan dan sentimen global yang memberangsangkan susulan pengukuhan data pekerjaan AS termasuk ikrar China untuk mewujudkan lebih banyak alat dasar yang berkaitan dengan sokongan ekonominya.

Dari asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 turun 2.5 sen kepada 688.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok sebanyak 21 sen kepada 670.5 sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 690.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 670.0 sen sekilogram.- BERNAMA