Thursday, 26 May 2022

Kenaikan OPR bergantung momentum pertumbuhan semasa

  • Published in Ekonomi

(Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus)

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Keputusan sama ada Bank Negara akan menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada masa depan, bergantung kepada momentum pertumbuhan semasa.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan sebarang perubahan ke atas OPR, dilakukan pada tempoh bersesuaian dan selepas kaji selidik menyeluruh.

Jelas beliau, kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas yang diumumkan Rabu lalu bagi mengelakkan kejutan dalam pasaran, sekiranya ia dinaikkan secara mendadak pada masa hadapan.

"Penting untuk kita mengolah semula dasar monetari secara berperingkat sekarang berbanding dengan terpaksa mengolah secara drastik di masa hadapan seperti dilakukan bank pusat lain yang cuba bangkit daripada kadar yang rendah. Justeru sebarang perubahan berdasarkan penilaian dan berperingkat untuk menyokong pertumbuhan," katanya pada sidang media berhubung Prestasi Ekonomi Suku Tahun Pertama 2022 di ibu negara.

OPR berada pada paras terendah 1.75 peratus sejak Julai 2020.

Kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus, dianggap mengejutkan pasaran.

Namun perlu dilakukan, agar seimbang dengan pertumbuhan semula ekonomi dan peningkatan dalam pasaran buruh.


(Gambar hiasan)

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata cadangan menambat nilai mata wang ringgit seperti dilaksanakan semasa krisis kewangan 1997 tidak sesuai dilakukan pada masa ini.

Jelas beliau, meskipun bertujuan mengawal penyusutan nilai ringgit, langkah berkenaan berisiko kepada kedudukan kewangan negara.

Perkara tersebut, sekiranya dilakukan memerlukan sokongan rizab negara sekali gus berupaya melemahkan daya tahan ekonomi berdepan tekanan luaran.

"Menambat nilai ringgit memerlukan sejumlah rizab negara semasa keadaan mencabar dan ini akan melemahkan daya tahan ekonomi menghadapi tekanan luaran," menurut beliau.

Tambahnya, penyusutan turut dialami mata wang utama lain dipengaruhi kenaikan agresif kadar bunga Amerika Syarikat, selain ketidaktentuan berkaitan China dan krisis Rusia-Ukraine.