Thursday, 26 May 2022

Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai jana nilai perdagangan RM70 bilion

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Mei- Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai menjana potensi perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan bernilai lebih RM70 bilion melalui program perdagangan dan perniagaannya yang luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor berkata kejayaan dalam menjalin kerjasama di ekspo itu mendorong kumpulan untuk terus menyediakan ruang kepada perniagaan melalui platform maya Pavilion Malaysia.

“Platform itu akan terus beroperasi sehingga 30 September 2022, memberikan peluang kepada syarikat global untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai syarikat Malaysia dan industri tempatan kita menghubungi rakan sejawat mereka di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Platform yang mendapat permintaan itu boleh diakses melalui laman web www.malaysiaexpo2020.com.

Platform maya itu menawarkan pasaran e-dagang yang menyeluruh untuk industri bertemu dan berinteraksi dengan pembeli dan rakan usaha sama termasuk akses kepada sesi padanan perniagaan secara mingguan.

(Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor)

Pengguna akan dapat mengakses gerai pameran maya, menyertai pertemuan perniagaan kepada perniagaan, sesi padanan perniagaan dan webinar.

Terdapat juga gerai maya yang khusus untuk penaja Pavilion serta kementerian, agensi, kerajaan negeri dan syarikat yang mengambil bahagian.

Kira-kira 5,000 pembeli antarabangsa yang berpotensi dan 250 syarikat peserta pameran Malaysia telah mendaftar dengan platform maya itu.