Thursday, 26 May 2022

BNM naikkan OPR kepada 25 mata asas kepada 2.0 peratus

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

Sepanjang krisis COVID-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada 1.75 peratus, paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini bagi memberi sokongan terhadap ekonomi.

OPR kekal pada kadar tersebut, sejak Julai 2020.

Menurut BNM, penunjuk terkini ekonomi negara mencerminkan pertumbuhan lebih kukuh, didorong permintaan dalam negeri dengan pertumbuhan eksport yang mampan.

(Foto fail)

Pasaran buruh terus disokong kadar pengangguran lebih rendah, penyertaan tenaga kerja lebih tinggi dan prospek pendapatan lebih baik.

Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan mengurangkan tahap akomodasi monetari.

Bagaimanapun, pengurangan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Berikutan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat antara 2 dan 3 peratus.

Tekanan harga akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.