Pembangunan ladang alga, hasilkan teknologi bahan api boleh diperbaharui
- Written by Media Baharu
- Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Next Generation Oil Sendirian Berhad merancang membangunkan ladang alga dengan nilai pelaburan US$38 bilion untuk tempoh 12 tahun akan datang.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Indera Mohamed Moiz J.M Ali Moiz berkata, melaluinya syarikat akan menghasilkan teknologi bahan api boleh diperbaharui dan menjadi sumber ekonomi baharu.
Ladang berkeluasan lebih 15,000 hektar itu mampu menyemai 68 juta tan biojisim alga dan menghasilkan 34 juta tan minyak alga mentah.
(Gambar Google)
"Projek ini akan mewujudkan aliran pendapatan baharu menerusi penghasilan minyak alga sekaligus membiayai projek seterusnya. Kita mampu memperluaskannya sehingga 38,000, 100,000 malah 10 juta ekar di serata dunia. Kita sudah ada teknologi ini dan tidak perlu menunggu teknologi seumpamanya dari luar dan kami juga amat bertuah kerana mendapat sokongan dari pihak Boustead," katanya.
Beliau ditemui pada pelancaran Program Pembangunan Vendor Ladang Tangki Alga, dengan kerjasama anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Bhd, Boustead Technology Sendirian Berhad di ibu negara.
Selain pembuatan 15 juta tangki alga dan pengekstrakan minyak, turut ditawarkan kerja-kerja kejuruteraan dan perolehan tenaga kerja terlatih membabitkan 100,000 pekerja.