Kadar tarif elektrik kekal untuk dua tahun, RM715 juta peruntukan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik
- Written by Media Baharu
- Published in Ekonomi
PUTRAJAYA, 28 Januari - Kerajaan bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik bagi tempoh 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024.
Tempoh dua tahun yang diberikan itu turut terpakai kepada pengguna komersial dan industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi twitternya berkata, ia melibatkan sembilan juta pengguna.
Bagi mengekalkan pemberian rebat, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung subsidi tersebut.
Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar tarif ini telah digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme kawal selia berasaskan insentif (IBR) diperkenal sebagai dasar baru dalam penetapan tarif elektrik.
Bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion.
Ia ekoran kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran.
Oleh itu, bawah mekanisme 'Imbalance Cost Pass-Through' (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pemberian rebat dua sen kilowatt perjam kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan.
Berdasarkan perkara tersebut, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna domestik di Semenanjung.
Surcaj RM3.70 kilowatt perjam yang dikenakan kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri dikenakan hanya bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022.