Tuesday, 17 May 2022

RM4 juta dana pemfailan Harta Intelek 2.0, beri manfaat kepada 2,000 usahawan PKS

  • Published in Ekonomi


KUALA lUMPUR, 25 Januari- Geran sebanyak RM4 juta untuk Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia MyIPO disalurkan bagi tempoh empat tahun bermula 2022 sehingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia ke 12.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bakal memberi manfaat kepada 2 ribu usahawan terutama dari sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Jelasnya, pemberiaan dana itu merangkumi pembiayaan fi bagi kos pemfailan komponen harta intelek termasuk kos kerja perkhidmatan profesional dan teknikal seperti penderafan paten

"Diharap dana ini dapat membantu meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara,” katanya selepas melancarkan dana itu di Akademi Harta Intelek MyIPO di sini.

Beliau menyeru supaya lebih ramai usahawan memanfaatkan tawaran dana itu bagi memperoleh hak ekslusif ke atas jenama, reka cipta ,reka bentuk dan karya yang mereka hasilkan.

Beliau juga mahu usahawan memastikan harta intelek yang didaftarkan, dimanfaatkan secara maksimum agar dapat menjana pulangan kepada usahawan seterusnya meningkatkan ekonomi domestik.

Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 merupakan kesinambungan daripada sambutan menggalakkan semasa siri satu yang bermula pada 2016 hingga 2020.

Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang telah memberi manfaat kepada 1,465 usahawan di seluruh negara.