Sunday, 22 May 2022

Komited tangani isu kenaikan harga barang, usaha reda beban rakyat

  • Published in Ekonomi


PUTRAJAYA, 25 Januari- Kerajaan komited untuk menangani isu kenaikan harga barang dan kesan peningkatan inflasi kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun rumit dan melibatkan pelbagai faktor, kerajaan memandang serius dan berusaha meredakan beban ditanggung orang ramai.

Katanya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan menilai faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi berkenaan, sekali gus mencari alternatif menangani isu tersebut.

"Ia melibatkan banyak faktor, antaranya faktor dunia kerana kenaikan harga minyak petrol, gas dan berkaitan, telah menyebabkan kenaikan dalam kos pengangkutan, harga makanan, dan ada kaitan juga dengan matawang kita, jadi ia agak rumit.

" Jika kita sebut tentang harga ayam, ia sebenarnya berkait dengan kos makanan ayam. ia bukan satu perkara yang senang ditangani, yang penting kerajaan sentiasa berusaha untuk pastikan bahawa kita dapat meredakan keadaan inflasi," katanya selepas Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu Graduate School Of Business Universiti Kebangsaan Malaysia; (UKM) di sini.