Logo

Rangka Tindakan Sektor Kewangan baharu pelengkap RMKe-12 - Zafrul

KUALA LUMPUR, 24 Januari - Strategi digariskan menerusi Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 bakal menjadi panduan mendepani cabaran serta meneroka peluang baharu ekosistem kewangan negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan dokumen berkenaan sebagai pelengkap kepada Rancangan Malaysia Ke-12 dengan fokus kepada pengaplikasian teknologi digital demi kesejahteraan rakyat.

Antara yang diberi penekanan dalam rangka tindakan lima tahun itu termasuk aspek pendigitalan sektor kewangan, ketersediaan akses dan amalan kewangan mampan.

"Strategi digariskan rangka tindakan ini amat penting digunakan oleh sektor kewangan dalam mendepani cabaran dan peluang mendatang, sekali gus menjadi pelengkap Rancangan Malaysia Ke-12.

"Ia diharap mampu memacu pendigitalan sektor kewangan, meningkatkan tawaran dan akses kepada pengguna, memperkaya ekosistem dana modal serta menggalakkan amalan kewangan lestari," katanya dalam ucaptama perasmian Minggu Fintech 2022 dan pelancaran Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 anjuran Bank Negara Malaysia secara maya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menekankan pendekatan seluruh negara sebagai kunci utama menuju pemulihan.

Sektor kewangan menurutnya memainkan peranan penting membantu individu dan perniagaan sepanjang tempoh pandemik melalui langkah moratorium pembiayaan dan penjadualan semua pinjaman.

Bagi tempoh Jun hingga 24 Disember lepas, sejumlah 2.7 juta individu dan 95,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima manfaat bantuan pembiayaan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.