Monday, 16 May 2022

BNM perkenal dana baharu RM2 bilion untuk PKS, permohonan bermula 3 Februari 2022

  • Published in Ekonomi

 



KUALA LUMPUR, 22 Januari- Permohonan untuk Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF), dibuka mulai 3 Februari ini sehingga dana itu digunakan sepenuhnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan menjelaskan, dua kemudahan pembiayaan itu, masing-masing berjumlah RM1 bilion, merupakan inisiatif di bawah Bajet 2022.

"BRF bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang, di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif.

"Di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa, atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai atau gabungan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).

"BRF ini tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi, sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan/atau perbelanjaan modal. Tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun," kata Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam kenyataan berkenaan.

Nor Shamsiah berkata, bagi gabungan antara pembiayaan hutang daripada IKP dan pembiayaan ekuiti, kadar efektif di bawah BRF adalah sehingga 3.5 peratus setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan, atau sehingga 5.0 peratus setahun termasuk sebarang fi jaminan.

PKS yang berminat boleh memohon terus daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan peserta yang dikawal selia oleh BNM.

Penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif seperti kewangan campuran dan pembiayaan ekuiti, menggabungkan sumber, kapasiti dan pengetahuan merentas sektor awam dan swasta termasuk bank-bank, institusi kewangan pembangunan dan pelabur ekuiti bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan lebih baik dalam landskap selepas pandemik.

Manakala, LCTF yang turut menyediakan dana RM1 bilion , diperkenal bagi menyokong dan menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian bagi kemampanan perniagaan mereka.

LCTF tersedia untuk PKS dalam semua sektor ekonomi sehingga maksimum RM10 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

"Terdapat keperluan mendesak bagi PKS untuk menerapkan amalan kelestarian dalam operasi perniagaan masing-masing pada masa hadapan.

"LCTF menggalakkan usaha ini dan menyokong industri kewangan untuk meningkatkan inovasi terhadap produk-produk yang ditawarkan bagi memudahkan perniagaan menerapkan amalan kelestarian dan menyesuaikan semula operasi dan proses perniagaan mereka," kata Nor Shamsiah.

Baru-baru ini, BNM meningkatkan peruntukan Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF) sebanyak RM300 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM500 juta.

PKS dan perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM150,000 bagi setiap perusahaan mikro.

Tempoh pembiayaan turut dilanjutkan sehingga tujuh tahun.

PKS boleh menghubungi BNM melalui bnm.my/LINK untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan DRF.

PKS juga boleh mengakses pelbagai kemudahan yang terdapat di bawah Dana BNM untuk PKS.

Butiran mengenai dana ini boleh didapati melalui bnm.gov.my/sme-financing.