Friday, 27 May 2022

Sektor penerbangan domestik tunjuk pemulihan, MAVCOM lulus 27 daripada 28 ATR

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meluluskan 27 daripada 28 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) yang dikemukakan syarikat penerbangan pada suku ke-4 2021.

17 permohonan melibatkan laluan penerbangan domestik, meningkat dua kali ganda berbanding tujuh permohonan diterima pada suku ke-3 tahun lalu.

MAVCOM menerusi satu kenyataan menjelaskan pembukaan semula sempadan negeri pada Oktober 2021 serta peningkatan permintaan penerbangan bagi percutian domestik, merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan permohonan ATR.

"Penambahan penerbangan melibatkan destinasi utama seperti Langkawi diikuti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Bharu.

"Ini sekali gus memperlihatkan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dalam sektor penerbangan domestik," jelas kenyataan itu.

Perkembangan memberangsangkan itu juga menunjukkan daya tahan sektor penerbangan yang kukuh dan mampan selain mampu untuk bangkit semula ke tahap pasca pandemik.

Dalam pada itu, MAVCOM turut menerima 13 permohonan ATR bagi segmen kargo udara.

Segmen kargo udara diunjur berkembang antara 3.9% dan 6.7% tahun ke tahun bagi 2022.

Keseluruhan pada tahun lalu, MAVCOM telah meluluskan 82 permohonan ATR dengan kadar kelulusan sebanyak 98.8%.