Monday, 16 May 2022

KDNK 5.5 - 6.5 peratus tahun ini mampu dicapai, susulan indikator positif- Tengku Zafrul

  • Published in Ekonomi


KUALA LUMPUR, 19 Januari
- Pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan sekitar 5.5 hingga 6.5 peratus tahun ini mampu dicapai, dirangsang oleh indikator-indikator positif termasuk pengurangan jumlah penganggur.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bilangan penggangur pada November 2021 menunjukkan trend menurun selepas mencatat seramai 694,400 orang berbanding 705,000 orang pada Oktober tahun sama.

Menurutnya, indikator lain termasuk Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang meningkat 9.4 peratus tahun ke tahun pada November 2021, dipacu peningkatan dalam indeks pembuatan, elektrik dan perlombongan.

Malah ujarnya, bagi tempoh sama, jualan perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan paras tertinggi iaitu tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM118.1 bilion yang mengatasi paras bulan sebelumnya sebanyak RM116.2 bilion.

“Oleh itu, secara keseluruhannya kalau kita lihat petanda-petanda ini, ia jelas menunjukkan bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu dapat dicapai. Kita juga dapat melihat lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta mengembalikan sentimen positif negara terutamanya selepas pandemik COVID-19".

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat tiga peratus tahun ke tahun manakala unjuran kerajaan bagi keseluruhan tahun tersebut adalah sekitar 3.0-4.0 peratus," jelas Tengku Zafrul.

Meskipun negara masih berdepan cabaran akibat pandemik tahun ini, beliau berkata..tempoh itu juga merupakan tahun pemulihan ekonomi yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM322 bilion menerusi Bajet 2022, angka terbesar dalam sejarah negara.

Ujarnya, fokus kerajaan adalah kesejahteraan rakyat dan membina daya tahan sektor perniagaan, selain membina ekonomi agar lebih makmur dan mampan.