Thursday, 26 May 2022

Pharmaniaga dapat lanjutan bekal ubat kepada KKM

  • Published in Ekonomi


KUALA LUMPUR, 15 Januari
- Tempoh konsesi pembekalan ubat dan peralatan perubatan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd dengan Kementerian Kesihatan dilanjutkan 10 tahun lagi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan difailkan kepada Bursa Malaysia bertarikh 11 Januari.

Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Mohamed Iqbal Abdul Rahman berkata, pelanjutan tersebut bukti keyakinan kerajaan terhadap standard perkhidmatan logistik ditawarkan anak syarikatnya.

"Kita ada 'network of transporters' yang dapat menghantar produk terus ke hospital, klinik tidak kira di bandar besar atau tempat yang terpencil dan kita juga ada proses dan prosedurnya, SOPnya yang mengikuti amalan pengedaran baik, selain kita juga ada sistem tersedia yang dihubung terus dengan sistem MOH", katanya menerusi temubual eksklusif bersama RTM.

Menyentuh prospek syarikat untuk tahun ini, beliau menjangkakan prestasi lebih baik didorong lanjutan tempoh konsesi, selain pembukaan semula sektor ekonomi dan permintaan vaksin COVID-19 untuk dos penggalak.