Monday, 16 May 2022

Eksport koko disasar cecah RM14 bilion tahun ini

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 14 Januari - Eksport komoditi koko disasarkan meningkat kepada RM14 bilion pada 2022 berbanding RM7 bilion yang direkodkan tahun lepas dengan dipacu oleh potensi pasaran yang besar di peringkat antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pelbagai inisiatif telah dirangka untuk mencapai sasaran nilai eksport itu, berdasarkan unjuran penggunaan produk koko global pada masa ini yang bernilai AS$120 bilion.

“Industri koko ada potensi yang tinggi dan kita lihat Malaysia boleh mempelopori atau meningkatkan lagi pengeluaran koko untuk dieksport,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan iklan video komersial dan promosi koko, di sini.

Pendapatan daripada hasil koko dijangka bertambah dengan penubuhan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor dalam masa terdekat.

Zuraida berkata selain penanaman koko dan melatih pengusaha tempatan mengeluarkan coklat, kementerian juga akan menumpukan kepada perniagaan pengisaran koko.

“Koko adalah berkhasiat dan bermanfaat dan boleh dikilangkan untuk menghasilkan beberapa produk lain, tetapi maklumat ini tidak sampai kepada masyarakat kita, jadi mereka tidak tahu," katanya.

Sehubungan itu, Lembaga Koko Malaysia bekerjasama dengan syarikat animasi tempatan, Monsta Agency & Distribution untuk pembikinan iklan video komersial berasaskan watak animasi Profesor Koko serta menampilkan watak animasi terkenal, Boboiboy.

Beliau berkata iklan itu akan ditayangkan di saluran televisyen nasional untuk menyebar luas maklumat mengenai khasiat, kebaikan dan kegunaan koko serta memberi kesedaran mengenai amalan sihat pengambilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko dalam kehidupan seharian.

“Koko selalu dikaitkan dengan coklat tetapi koko juga boleh (digunakan untuk) buat produk makanan dan bukan makanan seperti kosmetik dan bahan-bahan ubat yang berkaitan kesihatan,” katanya.