Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Taman Perindustrian IBS pertama di Kelantan sedia lebih 3,500 peluang pekerjaan

  • Published in Ekonomi

KOTA BHARU, 17 Oktober - Kelantan, negeri pertama mewujudkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan kos keseluruhan pembinaan menelan belanja lebih RM70 juta.

Ia bakal membuka lebih 3,500 peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya penduduk di Pantai Timur.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, ia akan bangunkan di Sungai Bagan, Machang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dalam tempoh terdekat dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan.

Taman Perindustrian IBS itu akan mengumpulkan pengusaha produk-produk pembinaan terutama yang berkaitan IBS dan teknologi sekaligus menjadikannya Pusat Rujukan Setempat (One Stop Center) bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan.

Beliau menyatakan demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Kelantan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Kota Bharu.

MOU ditandatangani Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad manakala CIDB di wakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Fadillah berkata melalui pemeteraian MoU berkenaan, ia juga akan memperkukuh jaringan ekosistem IBS di Malaysia seterusnya dapat meningkatkan bilangan pemain industri tempatan serta usahawan kecil dan sederhana (SME).