Tuesday, 26 October 2021

updated 11:41 AM UTC, Oct 26, 2021

RCEP Malaysia komited lengkapkan proses ratifikasi Disember ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 September - Negara-negara anggota Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau, RCEP sedang mengambil langkah-langkah domestik bagi meratifikasi perjanjian tersebut, mengikut lunas-lunas perundangan negara masing-masing.

Sehingga kini, negara-negara yang telah meratifikasi perjanjian tersebut, masing-masing adalah Singapura, China dan Jepun.

Selain itu, Myanmar pula telah menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, manakala Thailand telah melengkapkan proses ratifikasi domestik dan akan menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN pada hujung tahun ini.

Diperjelaskan, proses ratifikasi RCEP bagi Malaysia memerlukan pindaan dibuat ke atas 3 Akta di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang berkaitan Hak Harta Intelek (IPR) iaitu Akta Paten (Patent), Akta Hak Cipta (Copyright) dan Akta Cap Dagang (Trademark).

Ini adalah bagi memastikan akta-akta tersebut sejajar dengan obligasi negara di bawah perjanjian tersebut.

Justeru, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI telah dimaklumkan oleh KPDNHEP bahawa draf pindaan Akta-Akta tersebut sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara dan memberi jaminan akan dibentangkan, di Parlimen, Disember ini.