Logo

Bentuk bantuan Pelan Pemulihan Negara sedang diperinci

PUTRAJAYA, 24 Jun - Bentuk Bantuan yang bakal disalurkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara sedang diperinci.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, kerajaan juga sedang mengkaji langkah seterusnya yang boleh diperkenal untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan.

Menerusi Laporan Laksana ke-58, beliau menjelaskan bantuan-bantuan sedia ada akan disalurkan secara berterusan termasuk pakej PEMERKASA+ yang diperkenal bagi mengurangkan beban rakyat semasa Fasa 1 PKP 3.0.

Kementerian Kewangan akan terus memantau dan memperincikan bantuan lain yang akan disalurkan kelak sepanjang pelan pemulihan.

Sementara itu, jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2021 dijangka lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Ini berikutan wujudnya tanda-tanda positif ekonomi negara dalam tahap pemulihan disokong pakej-pakej rangsangan yang membuahkan hasil.

Setakat suku kedua tahun ini, negara telah mencapai hampir RM100 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

Tahun lalu, Malaysia mencatat nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM164 bilion dengan pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.9% dan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat 39.1%.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.