Wednesday, 4 August 2021

updated 1:18 PM UTC, Aug 4, 2021

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 10 Jun - Malaysia kekal destinasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing di sebalik pelbagai cabaran pandemik COVID-19.

Pelaburan diluluskan bagi suku pertama tahun ini berjumlah RM80.6 bilion berbanding RM41.2 bilion tempoh sama tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan, strategi agresif berterusan dalam menarik pelaburan bernilai tinggi daripada pelabur asing dan domestik telah menunjukkan hasil menggalakkan.

Pelaburan yang diluluskan membabitkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan.

Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan meningkat 383.4% kepada RM54.9 bilion bagi tiga bulan pertama tahun ini, berbanding RM11.4 bilion suku sama tahun lalu.

Menerusi satu kenyataan, beliau menjelaskan lima negara utama yang menjadi penyumbang utama ialah Singapura, Belanda, Korea, Taiwan dan Hong Kong.

Sementara itu, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 31.9% bersamaan RM25.7 bilion nilai pelaburan.

Sektor pembuatan merekodkan pelaburan berjumlah RM58.5 bilion diikuti sektor perkhidmatan (RM15.6 bilion) dan sektor utama RM6.2 bilion.