Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Ekonomi Malaysia dijangka mampu bertahan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0

  • Published in Covid19

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Ekonomi Malaysia dijangka mampu bertahan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan, ini memandangkan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sama seperti ketika pelaksanaan PKP 2.0, Januari hingga Mac lepas.

Sepanjang tempoh itu, impak PKP 2.0 bersifat marginal terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Pihaknya mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal berada pada momentum pertumbuhan sekitar 6% hingga 7.5% untuk tahun ini.

Beliau bercakap dalam sidang media Prestasi Ekonomi Malaysia Pada Suku Tahun Pertama 2021 secara maya.

Dalam pada itu, Bank Negara turut melaporkan, kadar inflasi negara lebih rendah pada kadar 0.5% untuk suku tahun pertama.

Namun, ia berkemungkinan akan meningkat sekitar 6.5% ke 7.5% pada suku tahun kedua berikutan kenaikan harga minyak dunia.

Menyentuh soal moratorium, tiada bantuan moratorium menyeluruh dilaksana kerajaan seperti tahun lepas.

Namun, bantuan bersasar masih disediakan bank bagi menyokong individu dan perniagaan terkesan.

Menurut data, sehingga Mac 2021, 11.4% akaun isi rumah dan 10.5% akaun perniagaan masih memerlukan bantuan pembiayaan manakala selebihnya sudah kembali membayar hutang pinjaman.