Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

PKP 3.0 dijangka tidak beri impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara

  • Published in Covid19

PUTRAJAYA, 12 Mei - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka tidak akan memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melalui kenyataan menjelaskan, ini kerana hampir kesemua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sepenuhnya bagi tempoh PKP 3.0.

Namun, kerajaan sentiasa berwaspada bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih berhadapan dengan risiko dan ketidaktentuan persekitaran ekonomi domestik serta global.

Ini termasuk penularan varian baharu COVID-19 yang dilihat semakin meluas di seluruh dunia, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.

Tambahnya, kerajaan yakin bahawa pemulihan ekonomi negara berada di landasan yang tepat.

Ini berikutan pelbagai dasar dilaksanakan terus menyumbang kepada pemulihan ekonomi kukuh pada tahun ini.

Ia digandingkan dengan disiplin fiskal jangka sederhana dan panjang.

Namun, Tengku Zafrul menekankan bahawa sekiranya terdapat keperluan tambahan untuk menyokong pemulihan ekonomi, kerajaan komited menguruskannya demi kesejahteraan rakyat dan perniagaan.