Logo

Usahawan kecil digalak mohon Skim Pembiayaan Informal segera

AYER KEROH, 30 April - Kira-kira RM12.5 juta telah diagih kepada 2,154 peniaga kecil-kecilan melalui menerusi Skim Pembiayaan Informal (SPIN) sejak Januari lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia merupakan peruntukan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjumlah RM50 juta tahun ini bagi membantu peniaga kecil yang terjejas untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Menurut beliau, skim berkenaan menyasar seramai 10,000 usahawan seluruh negara yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memanfaatkan bantuan pinjaman tersebut.

Jelasnya, urusan permohonan SPIN adalah mudah dengan kelulusan dalam tempoh tujuh hari.

Pemohon hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan, salinan penyata akaun bank sebulan dan bil utiliti.

Ketika ditemui di Ayer Keroh, beliau memaklumkan pembiayaan maksimum sebanyak RM5,000 dengan tempoh pembayaran balik adalah dalam tempoh tiga tahun.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.