Saturday, 15 May 2021

updated 2:37 PM UTC, May 15, 2021

SSM lancar Kempen Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 16 April - Sempena ulang tahun yang ke-19, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan kempen 'Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar'.

Kempen itu bagi memberi kesedaran dan menggalakkan orang ramai khususnya para peniaga untuk mendaftarkan perniagaan mereka.

Ia didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Aziz menyatakan melalui kempen ini, golongan usahawan B40 dan pelajar institut pengajian tinggi sepenuh masa boleh memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP).

Skim itu diperkenalkan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

SSM meletakkan sasaran 30,000 pendaftaran perniagaan di bawah SPPP, tahun ini.

Setakat 31 Mac lalu, 4,447 perniagaan telah didaftarkan di bawah skim tersebut.

Kempen khas yang dilancarkan sepanjang tahun itu melibatkan pejabat negeri dan cawangan SSM seluruh negara.

Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM ke-19 juga dimeriahkan dengan pengagihan zakat korporat dan tanggungjawab sosial korporat kepada 10 rumah kebajikan terpilih dan 15 usahawan.

Turut hadir melancarkan kempen berkenaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Majlis tersebut juga turut disaksikan hampir 6,500 orang, secara dalam talian.