Wednesday, 12 May 2021

updated 1:18 PM UTC, May 11, 2021

RM18.2 juta bantu wanita dan OKU kendali perniagaan

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 13 April - RM18.2 juta diperuntukkan untuk program dan bantuan membabitkan usahawan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan berkata MEDAC menerusi agensinya bersetuju bekerjasama dengan KPWKM bagi membantu kumpulan sasaran, khususnya untuk mendepani tempoh pemulihan selepas COVID-19 serta membantu mereka mengembangkan operasi.

Peruntukan akan digunakan untuk pelbagai program termasuk latihan, bantuan kewangan, program bimbingan dan pinjaman mudah yang bertujuan mengeluarkan lebih ramai usahawan berdaya saing, dinamik dan berdaya tahan.

Antara agensi di bawah MEDAC yang terlibat dalam inisiatif itu ialah Institut Keusahawanan Negara, TEKUN Nasional dan SME Corp serta Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang akan bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga serta Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah KPWKM.

Usahawan wanita adalah antara yang paling teruk terjejas oleh pandemik itu memandangkan sebahagian besar mereka di bawah kategori mikro dan tidak formal (tidak berdaftar) selain berniaga dalam sektor tidak penting seperti estetika, fesyen, spa, salun kecantikan dan pengurusan acara.

MEDAC turut menumpukan usaha membantu perniagaan terbabit beralih kepada digital.

MEDAC juga menerusi PNS berhasrat bekerjasama dengan KPWKM untuk mengenal pasti perniagaan yang dimiliki wanita yang berpotensi dikembangkan sebagai jenama francais tempatan.