Monday, 10 May 2021

updated 2:30 PM UTC, May 10, 2021

Program #SayaDigital bantu rakyat serta perniagaan kecil yang masih terkesan pandemik COVID-19

  • Published in Ekonomi

AMPANG, 12 April - Program #SayaDigital dapat memainkan peranan penting membantu rakyat serta perniagaan kecil yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hakikatnya, kesan dan akibat pandemik itu boleh menjadi pendorong untuk masyarakat luar bandar memantapkan kemahiran dan ilmu digital terutamanya dalam kalangan peniaga.

Program yang dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merupakan kesinambungan daripada MyDigital.

Perdana Menteri menjelaskan, inisiatif itu menyasarkan kumpulan sosioekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan yang dilaksanakan sejak Ogos 2020.

Tambahnya lagi, literasi digital dalam kalangan masyarakat harus dipertingkat serta ditambah baik bagi merealisasikan visi ekonomi digital selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian, dalam ucapan ketika melancarkan program #SayaDigital Peringkat Kebangsaan secara maya di Ampang, Selangor.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek yang membacakan teks ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penglibatan masyarakat dalam ekonomi digital yang dipacu pendigitalan memberi peluang lebih luas dalam pasaran pekerjaan.

Justeru, pelbagai inisiatif termasuk aspek berkaitan digital dilaksana secara berterusan untuk membantu rakyat terjejas.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemberian geran kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan mikro untuk mengautomasikan perniagaan supaya terus bertahan selain merancakkan sektor e-dagang dan meningkatkan kemahiran digital rakyat.

Program #SayaDigital yang menyasarkan keluarga kategori B40, golongan tidak berpendapatan, warga emas dan belia, bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti mengenai kemampuan digital menjadikan kehidupan lebih mudah, mengembangkan perniagaan, membantu jana pendapatan serta perkasa kerjaya masa depan.