Wednesday, 12 May 2021

updated 1:18 PM UTC, May 11, 2021

Kadar pengangguran Malaysia susut kepada 4.8%

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 9 April - Kadar pengangguran Malaysia susut kepada 4.8% pada Februari 2021 berbanding 4.9% pada Januari.

Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penganggur pula turun 0.6% kepada 777,500 orang.

Sementara itu, bilangan penduduk bekerja meningkat 33.3 ribu bagi tempoh bulan ke bulan kepada 15.27 juta individu.

Manakala, jumlah tenaga buruh meningkat 0.2% bulan ke bulan kepada 16.05 juta orang.

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus meningkat terutamanya aktiviti perdagangan borong dan runcit.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dan sekatan perjalanan antara negeri berterusan, pasaran buruh negara beransur pulih sejak awal Mac 2021. 

Sektor pendidikan yang dibuka semula secara berperingkat memberi manfaat kepada aktiviti ekonomi berkaitan sekolah.

Selain itu, pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi sejak Februari 2021 akan menggalakkan lebih banyak permintaan seterusnya memberi impak positif terhadap pasaran buruh.