Logo

Pembinaan jajaran Seksyen C Projek ECRL diteruskan

PUTRAJAYA, 5 April - Kementerian Pengangkutan akan meneruskan pembinaan jajaran Seksyen C Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jajaran asal.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan, jajaran asal yang turut dikenali sebagai Jajaran Utara telah pun diluluskan Jemaah Menteri pada 2 September tahun lalu.

Jajaran Seksyen C melibatkan laluan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang sepanjang 201 kilometer, melalui Bentong, Gombak dan Serendah.

Jajaran berkenaan akan meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL dan seterusnya memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Datuk Seri Dr Wee berkata demikian pada sidang media khas mengenai projek ECRL di Putrajaya.

Mengulas kos pembinaan keseluruhan projek, beliau menjelaskan ECRL Jajaran Utara melibatkan anggaran kos berjumlah RM50 bilion termasuk pembinaan Serendah Bypass.

Ia lebih rendah berbanding kos pembinaan ECRL 1.0 (Fasa 1 dan 2) berjumlah RM55 bilion serta ECRL 2.0 berjumlah lebih RM52 bilion.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.