Sunday, 17 January 2021

updated 1:18 PM UTC, Jan 17, 2021

Sumbangan PKS kepada KDNK negara pada 2030 kekal 50%

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 23 November - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengekalkan unjuran 50% sumbangan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada 2030 meskipun pertumbuhan ekonomi negara terencat angkara COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya akan bergerak lebih aktif terutama selepas pandemik berkenaan reda bagi memastikan unjuran berkenaan dicapai.

Ketika ini PKS menyumbang kira-kira 38% dari KDNK dan 48% dari jumlah tenaga kerja dalam negara.

Beliau turut memaklumkan, pasca pelaksanaan pakej PRIHATIN dan PENJANA pihaknya juga akan membentangkan hasil kajian impak dan prestasi usahawan kepada Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) dalam waktu terdekat.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media Belanjawan 2021 kementeriannya di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Dalam sesi sama beliau turut berkongsi aspirasi kementerian untuk merubah taraf hidup 80% ahli koperasi yang ketika ini berada pada kelompok B40 kepada M40.

Ia akan direalisasikan menerusi langkah transformasi pertubuhan berkenaan dengan matlamat perkongsian kemakmuran di antara koperasi dengan ahli.