Saturday, 28 November 2020

updated 8:37 AM UTC, Nov 28, 2020

Perniagaan dalam talian berkembang pesat impak PKP

  • Published in Ekonomi

HULU TERENGGANU, 16 November - Perniagaan dalam talian kini berkembang pesat impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan COVID-19.

Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan, transaksi dalam talian pada bulan Mei 2020, meningkat 39.3% berbanding bulan yang sama, tahun lepas.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid seiring dengan peningkatan perniagaan dalam talian, aduan mengenainya turut meningkat.

Sehingga September lalu 9,116 aduan diterima, meliputi kesalahan tidak menerima barangan, perkhidmatan tidak seperti ditawarkan, kes tuntutan semula pembayaran dan iklan mengelirukan.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan keyakinan pengguna, peniaga digalakkan mendaftar perniagaan melalui SSM BizTrust di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Datuk Rosol menyatakan demikian ketika mengadakan lawatan ke Ladang Penternakan Ayam di Kampung Kemat Kuala Berang, Hulu Terengganu.

SSM BizTrust kini menyediakan perkhidmatan daftar perniagaan dalam talian secara percuma sehingga 30 Disember ini.

Setakat 31 Oktober, SSM merekodkan pendaftaran 373,213 perniagaan dalam talian.

Bagaimanapun hanya 4,181 perniagaan berdaftar dengan SSM BizTrust.