Saturday, 28 November 2020

updated 8:37 AM UTC, Nov 28, 2020

RCEP bakal menjadi hasil penting Sidang Kemuncak ASEAN ke-37

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 8 November - Pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bakal menjadi hasil penting kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan mesyuarat berkaitan yang akan diadakan secara maya mulai 9-15 November ini.

Perjanjian RCEP akan menjadikan ia perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia meliputi hampir separuh populasi dunia, pada masa sama menyumbang satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, RCEP yang telah dirunding sejak tahun 2013 akan meningkatkan integrasi ekonomi serantau, mempromosi aliran pelaburan dan memperkuat rantaian bekalan global.

Dengan negara anggota ASEAN masih lagi bergelut memerangi COVID-19, MITI berkata Sidang Kemuncak itu akan menjadi platform yang ideal untuk membincangkan cara untuk menangani cabaran kesihatan dan ekonomi.

Dengan bertemakan "Cohesive and Responsive”, negara-negara anggota juga akan memberi tumpuan kepada cara terbaik untuk meningkatkan perpaduan, kerjasama dan solidariti ke arah integrasi ekonomi serantau.

Sebelum sidang kemuncak para pemimpin, menteri-menteri ekonomi akan bersidang pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN dan membincangkan penyelesaian yang nyata dan jalan ke depan untuk menyokong pemulihan ekonomi serantau dengan mengekalkan pasaran terbuka untuk perdagangan dan pelaburan.

Sidang kemuncak dengan rakan dialog ini diharapkan dapat meningkatkan kerjasama dalam beberapa bidang dengan penekanan untuk merapatkan hubungan perdagangan terutama di celah-celah pandemik COVID-19.

Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan ASEAN 2020 juga dijadualkan berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dengan tema "Digital ASEAN : Sustainable and Inclusive".

Dihoskan oleh Vietnam, Pengerusi ASEAN untuk tahun 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.