Saturday, 28 November 2020

updated 6:51 AM UTC, Nov 28, 2020

Kesukaran usahawan PKS dan PKS mikro dapatkan pembiayaan dapat perhatian kerajaan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 November - Kesukaran usahawan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS mikro mendapatkan pembiayaan turut mendapat perhatian kerajaan.

Melalui Pakej PRIHATIN dan PENJANA, sejumlah RM1.9 bilion pinjaman disediakan untuk mereka.

Tiga langkah diambil bagi memudah akses pembiayaan iaitu Pembiayaan Kredit Mikro, Jaminan Pinjaman dan Pembiayaan Alternatif.

Bagi melonjakkan perniagaan berstatus mikro ke peringkat lebih tinggi, Pembiayaan Skim Lestari Bumi dengan dana RM300 juta disediakan SME Bank.

Manakala platform `JanaNiaga' akan membantu PKS yang mengalami masalah aliran tunai dan kesukaran mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion disediakan melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain.

Dalam pada itu, kerajaan akan meningkatkan jaminan sehingga RM10 bilion dengan RM2 bilion diperuntuk khusus untuk usahawan bumiputera.

Bagi syarikat terlibat dengan minyak dan gas, skim Jaminan Prihatin Dana Jamin berjumlah RM3 bilion dilanjutkan hingga 2021.

Akta Kredit Pengguna akan digubal bagi memperkukuh penyeliaan kredit bukan bank.

Pada masa sama, Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion dan Skim Geran Pendigitalan IKS berjumlah RM150 juta diperkenal bagi mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.