Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

FGV nafi jadi punca kegagalan dan kejatuhan FELDA

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Kegagalan dan kejatuhan FELDA bukan berpunca daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) FGV Holding Bhd.

Syarikat perladangan itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan isu sebenar adalah penggunaan pendapatan daripada IPO dan bukan IPO itu sendiri.

Menurut FGV, harga minyak sawit mentah (MSM) memainkan peranan paling penting dalam menentukan keuntungan atau kerugian syarikat.

Selepas IPO pada 2012, pembayaran FGV kepada Felda tidak memenuhi unjuran Felda disebabkan oleh penurunan harga MSM.

FGV dan FELDA memeterai Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) pada 2011.

Harga semasa MSM bagi ketika itu pada paras RM3,000 setan.

FELDA pula mengunjurkan hasil pendapatan yang bakal diterima melalui LLA dengan menggunakan kadar RM2,800 setan.

Namun selepas IPO dan diniagakan di Bursa Malaysia pada 2012, penurunan harga MSM berlaku sekaligus tidak menepati unjuran pendapatan disasarkan FELDA.

FGV turut menyangkal kenyataan FELDA bahawa ia harus menerima RM800 juta setahun daripada LLA.

Perjanjian tersebut menerangkan jumlah yang perlu dibayar kepada FELDA hanya RM248 juta setahun serta 15% keuntungan operasi daripada tanah LLA.

FGV telah membayar lebih RM2.5 bilion kepada FELDA dari tahun 2012 hingga 2019.