Logo

Keyakinan langkah keselamatan COVID-19 di KLIA, tiga syarikat penerbangan global sambung semula operasi

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Tiga syarikat penerbangan global menyambung semula operasi mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata penyambungan operasi itu didorong keyakinan terhadap langkah-langkah keselamatan COVID-19 yang berkesan di KLIA.

Datuk Mohd Shukrie dalam satu kenyataan menjelaskan, tiga syarikat tersebut adalah British Airways, Oman Air dan Ethiopian Airlines.

Sementara itu, lapangan terbang di negara ini juga terus menyaksikan peningkatan bulanan dari segi jumlah penumpang dan aliran trafik.

Pada September lalu, aliran trafik atau jumlah pergerakan penumpang udara meningkat 19% daripada bulan sebelumnya kepada 1.7 juta penumpang.

Manakala pergerakan pesawat menokok 9.8% kepada 27,010 penerbangan.

Dalam pada itu, operasi MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul mencatat hampir dua juta penumpang bulan lalu dengan lima syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi.

Ini menjadikan pergerakan penumpang bagi lapangan terbang kendalian MAHB berjumlah 3.5 juta.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.